YM Tuan Haji Amruddin b Hj Buang telah diisytiharkan oleh Majlis Muafakat Tertinggi Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (MMT) sebagai Guru Utama Silat Cekak Hanafi yang baru bagi menggantikan Almarhum Marwi b Latif yang telah meninggal dunia pada 30 April 2024 yang lepas.

Pengisytiharan ini adalah selaras dengan Peraturan 21 Perkara 1 Perlembagaan Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Hanafi).

Tuan Haji Amruddin bin Buang dilahirkan pada 26 hb November 1952 dan kini berusia 72 tahun. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Princes Road, Kuala Lumpur, Sekolah Kebangsaan Polis Depoh dan Sekolah Aminuddin Baki. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke Universiti Malaya dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi. Selain itu, turut memiliki  Diploma Pengurusan daripada Institut Pentadbiran Negara.

Kelayakan akademik ini membolehkan Tuan Haji Amruddin menyandang pelbagai jawatan di jabatan kerajaan dan juga di syarikat swasta. Kerjaya beliau di sektor kerajaan, antaranya sebagai Penolong Pengarah Bahagian Insuran di Kementerian Kewangan, Penolong Setiausaha Dewan Undangan Kerajaan Negeri Selangor, Penolong Pegawai Daerah Petaling, Selangor dan Penolong Pengarah Bahagian Perindustrian di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Malaysia.

Di sektor swasta pula, Tuan Haji Amruddin pernah berkhidmat sebagai Pengurus Pelaburan dan Pengurus Besar di beberapa syarikat seperti KKI Industries Sdn Bhd, Jemco Sdn Bhd, Rumpun Hijau Corporation Sdn Bhd dan Dfameux Corporation Sdn Bhd. Jawatan terakhir beliau di sektor swasta ialah sebagai Pengerusi Eranet Advertising & Publication Sdn Bhd.

Dari segi kehidupan peribadi, Tuan Haji Amruddin mendirikan rumahtangga dengan Puan Saedah Binti Abd Samad dan mempunyai 5 orang cahaya mata, 2 lelaki dan 3 perempuan.

Pada tahun ini, genap 53 tahun Tuan Haji Amruddin berjuang bersama-sama dengan Silat Cekak. Perjuangan beliau bermula pada tahun 1971 sebagai ahli biasa. Kemudian, dilantik sebagai jurulatih pada tahun 1972. Seterusnya, pelbagai jawatan telah diamanahkan kepada beliau sejak dari zaman Almarhum Yang Mulia Ustaz Haji Hanafi Bin Ahmad sehingga kini. Antaranya sebagai Penyelia Kelas, Ahli Jawatankuasa Pusat, Penolong Setiausaha, Ketua Penerangan,  Setiausaha Agung, Naib Presiden, Setiausaha LPT, Setiausaha MMT dan Ketua Eksekutif Akademi Silat Cekak Hanafi.

Selain jawatan dalam Silat Cekak, Tuan Haji Amruddin turut pernah memegang jawatan sebagai Bendahari Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan Anggota Majlis Tertinggi Persekutuan Silat Antarabangsa (PERSILAT)

Sifat tanggungjawab tokoh ini terhadap masyarakat setempat dan terhadap aktiviti bukan persilatan juga dibuktikan melalui komitmen beliau sebagai Yang Dipertua Persatuan Penduduk Taman Seri Keramat selama 38 tahun, Yang Dipertua PIBG sekolah rendah selama 10 tahun dan Yang Dipertua PIBG sekolah menengah selama 8 tahun.