Jom Kenali Silat Cekak Hanafi

Persembahan Silat Cekak Hanafi di Ekspo Muafakat Kedah pada tahun 2018

APA ITU Silat ?

Silat adalah satu seni mempertahankan diri yang diamalkan oleh bangsa Melayu atau di rumpun nusantara ini sejak berkurun yang lalu. Definasi silat bagi Pemimpin Agung Silat Cekak, iaitu YM Al-Marhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad, ialah:

PERGERAKAN DUA TANGAN DAN DUA KAKI YANG DIGUNAKAN OLEH BANGSA MELAYU UNTUK MEMPERTAHANKAN DIRI DENGAN BERLANDASKAN AKAL FIKIRAN YANG SIHAT DAN WARAS.

Silat terdiri daripada beberapa kategori. Antaranya ialah Silat Tari, Silat Olahraga, Pencak Silat, Silat Beladiri dan lain-lain. Salah satu silat yang terdapat di nusantara ini ialah Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Hanafi). Silat ini tidak kurang hebatnya dengan seni mempertahankan diri yang lain.

Aksi pengamal Silat Cekak Hanafi mengunci musuh yang dirakamkan di Kejohanan Wajadiri Nasional

APA ITU Cekak ?

Perkataan Cekak adalah satu perkataan yang tua yang telah lahir sejak zaman masyarakat Melayu. Cekak membawa pelbagai maksud.

    1. Peribahasa Kedah “Makan Cekak” yang membawa maksud bertanggungjawab.
    2. Bahasa Minangkabau pula, perkataan “Cakak” yang membawa maksud gaduh.
    3. Bahasa Jawa pula, perkataan “Cheka” yang membawa maksud ringkas.
    4. Secekak pula membawa erti silat ini diajar hanya intisari silat dan bukannya pecahan atau bunga-bunga di dalam silat. Juga difahami silat ini diajar dengan segenggam, bukannya segantang yang membawa maksud yang sama.

SIAPA PULA Hanafi ?

Hanafi hj Ahmad – Pemimpin Agung Silat Cekak Hanafi

Hanafi merujuk kepada Al-Marhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad, iaitu Pemimpin Agung Silat Cekak. Kenali beliau dengan lebih lanjut DISINI.

Silat Cekak Hanafi

Silat Cekak Hanafi tergolong dalam “seni beladiri” atau “martial arts”, yang tujuan utamanya adalah untuk menjaga nyawa dan tubuh badan daripada serangan. Dengan kaedah dan buah yang ada, Silat Cekak Hanafi mampu menangkis serangan dengan mudah, cepat dan tepat.

Ia bukan jenis Silat Pencak atau Silat Tari, yakni silat yang bertari atau berbunga.

Sebagai silat yang berasaskan gerakan seni, Silat Cekak Hanafi tidak memerlukan dan tidak menekankan keperluan kekuatan dan tenaga luar biasa untuk mengalahkan musuh. Semua pergerakan dan teknik Silat Cekak Hanafi berasaskan kepada pergerakan semulajadi manusia.

Silat Cekak Hanafi adalah sesuai untuk semua insan tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda, yang sempurna atau kurang sempurna anggota. Kaedah pembelajaran bersistematik dan tidak menyukarkan diri serta membolehkan penuntut mempertahankan diri walaupun di tempat-tempat yang sempit seperti di atas papan sekeping.

Silat Cekak Hanafi diajar secara berpakej dan diajar sehingga tamat. Dalam kaedah biasa, pakej sehingga tamat silat ini dapat disempurnakan di dalam tempoh 7 bulan.

Selepas tamat matapelajaran, penuntut-penuntut boleh meningkatkan kemahiran dengan mengikuti kelas-kelas kemahiran yang diadakan dari masa ke semasa. Penuntut juga berpeluang untuk mengambil ujian Sijil Rendah Persilatan (SRP) yang di anjurkan Persatuan Pusat dan seterusnya boleh menjadi Tenaga Pengajar Silat Cekak Hanafi.

DAFTAR sekarang.