PANTUN SILAT CEKAK

Pantun Silat Cekak ini telah dicipta oleh Yang Mulia Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad.
Setiap rangkap pantun mempunyai maksud yang tersendiri dan mendalam. Dengan adanya pantun ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran kepada penuntut-penuntut Silat Cekak Hanafi bahawa Silat Cekak menekankan pendidikan jasmani dan rohani, dan tidak terkeluar dari landasan Islam.
Hayati pantun di bawah :

Lahirnya Cekak kerana kesedaran,
Bukan bermusuh sebagai tujuan,
Untuk mendaulatkan seni kebangsaan,
Menyesuaikan dengan makna kemerdekaan.

Silat Cekak benar-benar asli,
Tidak bercampur hak luar negeri,
Hendaklah belajar bersungguh hati,
Untuk menjaga diri sendiri.

Silat Cekak tersangatlah mudah,
Bagi mereka yang mendapat hidayah,
Sungguhpun begitu hendaklah tabah,
Insya Allah mendapat faedah.

Silat Cekak pada lahirnya,
Pengertian gerak pada batinnya,
Hendaklah mahir seluruh anggota,
Hendaklah jujur pada jiwanya.

Taat ke guru membawa berkat,
Sedikit belajar banyak yang dapat,
Jika menderhaka menjadi mudarat,
Semua ilmu tiada yang lekat.

Sebenar guru ada hakikat,
Dikuat pula amalan syariat,
Ditambah pula ilmu makrifat,
Berpakaian pula dengan isyarat.

Dua ibu bapa tak boleh derhaka,
Besar jasanya kepada kita,
Kalau menderhaka bahaya menimpa,
Di akhirat kita masuk neraka.

Wajib lah menjaga diri sendiri,
Menerima amanah Tuhan Rabbi,
Supaya menjadi mukmin sejati,
Demi menegak Islam yang suci.

YM Almarhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad