Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi ialah Seni Silat Cekak yang benar-benar diamal dan dianjurkan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad, baik dari segi kaedah pembelajaran, konsep, falsafah, prinsip, pegangan, kerohanian, dan pembawaannya.

Seni silat ini telah diamalkan oleh keluarga diraja dan panglima-panglima kanan di Negeri Kedah Darul Aman di zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin (1854-1879).

Guru yang paling awal diketahui adalah Allahyarham Panglima Ismail, kemudian diperturunkan silat ini kepada Allahyarham Panglima Tok Rashid yang kemudian mengamanahkan silat ini kepada Allahyarham Encik Yahya Bin Said. Beliau telah diamanahkan oleh Allahyarham Panglima Tok Rashid untuk menyerahkan kembali silat ini kepada anak cucu yang berasal dari Kedah.

Allahyarham Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad telah mengambil silat ini dari Allahyarham Encik Yahya Bin Said. Bermulalah era baru bagi silat ini sejak dizahirkan kembali oleh Allahyarham Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad.

Allahyarham Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad telah memberi semangat dan pendekatan baru serta berjaya mengangkat martabat dan Seni Silat Cekak sebagai satu pergerakan yang boleh memberi sumbangan kepada masyarakat. Seni Silat Cekak telah berjaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan profesional.

Kini Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia diterajui oleh Encik Marwi Bin Latif selaku Guru Utama Silat Cekak Hanafi. Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia kini mempunyai cawangan di peringkat negeri dan kelas persilatan di institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah.