Parang Lading  (Senjata Rasmi).

Seperti silat-silat lain Silat Cekak Hanafi mempunyai senjata rasminya sendiri iaitu parang lading; yang hanya terkenal di Negeri Kedah Darulaman. Senjata ini digunakan oleh pengamal Silat Cekak Hanafi untuk menangkis segala jenis serangan tangan kosong atau bersenjata tajam.

Sungguhpun demikian, Parang Lading ini hanya dianugerahkan kepada orang-orang yang telah mencapai satu peringkat tertentu serta terbukti kesetiaannya kepada persatuan. Selalunya mereka yang mendapat anugerah ini adalah mereka yang telah bergiat aktif di dalam persatuan selama lebih dari 10 tahun.

Saiz dan rupa parang lading ini bergantung kepada sipemakainya kerana setiap pemakai mempunyai ukurannya tersendiri. Berikut adalah ukuran untuk parang lading:

a. Jarak panjang dari pangkal hingga ke hujung, berdasarkan ukuran dari lubang telinga kiri ke mata kanan atau dari lubang telinga kanan ke mata kiri. Ertinya, “Tiap-tiap yang terlihat dan terdengar maka sampailah senjata itu”.
b. Matanya yang tajam sekadar jarak dua mata si pemakai.
c. Lebar hujung sebelah belakang selebar perdu kuku jari kelingking.
d. Tebal pangkal sebelah atas selebar perdu kuku ibu jari.
e. Hulu parang ini mengambil bentuk tapak kijang dan dibuat dari tanduk kerbau betina.
Wali Jantan  (Pelengkap Parang Lading).

Pelengkap kepada Parang Lading ialah Wali Jantan.Wali Jantan ini dibuat mengikut ukuran bahagian tertentu anggota si pemakai. Oleh yang demikian ia boleh digunakan dalam suasana gelap. Cara memakai Wali Jantan ini ialah mata yang tajam mengadap ke atas. Ia juga digunakan semata-mata untuk mempertahankan diri dan untuk menyerang.