DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR
(BAHAGIAN RAYUAN DAN KUASA-KUASA KHAS)

GUAMAN NO: R1-22-06-2006

ANTARA

OMAR BIN A. RAHMAN         … PLAINTIF

DAN

1. MD RADZI BIN HAJI HANAFI
2. MD. NASIR BIN MD. ARSHAD
3. AMRUDDIN BIN HAJI BUANG
4. MOHD DAUD BIN HJ. SUTAN
5. ABU HUZAIFAH B. ABD. RAHIM
6. AMRAHI B. HJ. BUANG
7. RAMLEE BIN ABDUL RAHMAN
8. IKMAL RASHMY BIN ISMAIL
9. MOHD RAIS BIN ABU NOH
10. MOHD. AZHAR BIN MOHD ALI
11. AMINUDIN BIN DAHLAN
12. KAMARUZAMAN BIN HJ. AHMAD
13. ABU HAMID BIN NA’AMAN
14. NOR AZLAN SHAH BIN ABDULL GAFFOOR
15. YUSAINI BIN SIDEK
16. TENGKU AZLINA BINTI TENGKU ISMAIL
17. ROSLAN BIN HJ ABDUL RASHID
18. SUHAIMI BIN SAAD
19. MUHAMMAD NAIM BIN HJ NAWI
20. SAIFOL BIN ABDUL MURAD
21. MOHAMAD AMIN BIN ZAINUL ABIDIN                     … DEFENDAN-DEFENDAN

 

ALASAN KEPUTUSAN

Permohonan ini, mengikut kandungan Lampiran 5 dalam tindakan ini, ialah untuk mendapatkan suatu injunksi sementara dengan perintah-perintah yang dipohon secara luas untuk berkuatkuasa “sehingga diperintahkan sebaliknya” oleh mahkamah ini. Pemohon/Plaintif ialah seorang ahli pertubuhan silat yang bergelar Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (PSSCUHM), sementara Defendan-Defendan pula adalah penjawat-penjawat badan eksekutifnya yang bergelar Majlis Mesyuarat Kebangsaan (MMK).

Intipati pertikaian diterangkan dalam Pernyataan Tuntutan yang mengiringi Writ Saman Plaintif, yang berpunca daripada berlangsungnya Mesyuarat Agung Perwakilan PSSCUHM yang diadakan pada 11.3.2006. mengikut kandungan pliding Plaintif, mesyuarat Agung tersebut dihadiri oleh perwakilan-perwakilan daripda cawangan-cawangan persatuan ini , yang mana termasuk perwakilan daripada cawangan Pulau Pinang. Mengikut keterangan dan pliding, Plaintif telah turut hadir di kala itu sebagai perwakilan cawangan negeri Melaka.

Mesyuarat Agung tersebut telah memilih penjawat-penjawat MMK untuk sessi 2006/2009, iaitu Defendan-Defendan dalam prosiding ini. Pihak-pihak akui bahawa perwakilan Negeri Pulau Pinang juga turut serta dalam proses pemilihan. Juga diakui bahawa pada ketika itu cawangan Pulau Pinang telah dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Perintah Pembatalan cawangan itu bertarikh 2.8.2005.

Pendaftaran cawangan Pulau Pinang telah dihidupkan semula pada 7.6.2006 selepas permohonan dibuat oleh PSSCUHM pada 10.4.2006, iaitu suatu tarikh selepas tarikh Mesyuarat Agung tersebut.

Mahkamah perlu menekankan di sini bahawa nyataan pembatalan dan pengesahan semula cawangan Pulau Pinang diplidkan secara nyata oleh Plaintif dalam Pernyataan Tuntutan. Jadi tidak timbul apa-apa cubaan untuk tidak mendedahkan fakta-fakta material dalam hubungan ini. Seterusnya, Plaintif selaku Setiausaha PSSCUHM cawangan negeri Melaka, telah menulis sepucuk surat bertarikh 24.8.2006 kepada Defendan Kedua, Ketiga dan Keenam meminta supaya satu Mesyuarat Perwakilan Luar Biasa diadakan bagi memilih semula penjawat-penjawat MMK. Mengikut keterangan Plaintif, tiada tindakan diambil dalam hubungan ini, walaupun selepas surat peguam dihantar mendesak supaya Mesyuarat Perwakilan Luar Biasa diadakan seperti diperuntukkan dibawah Perlembagaan PSSCUHM, khususnya Peruntukan 5 Perlembagaan.

Atas alasan kehadiran perwakilan cawangan Pulau Pinang yang tidak sah yang juga turut serta dalam proses pemilihan penjawat-penjawat MMK, Plaintif memohon perintah-perintah berikut dalam tindakan utamanya:

a) Perintah Deklarasi bahawa:
i) Mesyuarat Agung Perwakilan PSSCUHM Kali Ke-9 yang telah diadakan pada 11.3.2006 adalah tidak sah dan terbatal;
ii) Pemilihan penjawat-penjawat Majlis Mesyuarat Kebangsaan yang telah diadakan di dalam Mesyuarat tersebut adalah tidak sah;
iii) Apa-apa keputusan atau dapatan atau arahan yang dibuat dalam apa-apa mesyuarat, prosiding dan sebarang rapatan yang dijalankan selepas    Mesyuarat tersebut di peringkat majlis atau lembaga atau jawatankuasa yang dibentuk dalam PSSCUHM adalah tidak sah dan terbatal.

b) Perintah berbentuk mandatori bahawa satu Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa diadakan dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh perintah.

Dalam prosiding interlokutori ini melalui Lampiran 5 pula Plaintif memohon perintah-perintah pokok seperti berikut:

”Defendan-Defendan atau wakil-wakilnya atau agen-agennya atau mana-mana ahli Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (PSSCUHM)   ditahan melalui injunksi daripada mengambil apa-apa tindakan sebagai penjawat-penjawat tetapi tidak terhad kepada membuat, mencipta,     mengedar, melupus, mengarahkan atau membenarkan samada secara langsung atau tidak langsung untuk membuat, mencipta dan mengedar, melupus sebarang surat, risalah, pekeliling, arahan yang berbentuk kempen atau propaganda yang memprejudiskan mana-mana individu, pihak atau kumpulan di dalam PSSCUHM samada dalam bentuk cetakan atau video mahupun audio atau multimedia kepada mana-mana ahli PSSCUHM atau mana-mana pihak dan ditahan daripada menggunakan wang PSSCUHM sehingga diperintahkan sebaliknya oleh mahkamah yang mulia ini”

Amat ketara sekali bentuk dan keluasan perintah-perintah interlokutori ini menyimpang jauh dari asas tindakan dalam prosiding utama. Kalaupun Plaintif mohon ke mahkamah selaku ahli dan Setiausaha Cawangan Melaka untuk menegakkan kepatuhan dengan Perlembagaan persatuan atas alasan perwakilan cawangan yang tidak berdaftar dibenarkan hadir dan memilih penjawat penjawat, bentuk dan tujuan permohonan interlokutori ini menimbulkan tanda tanya.

Apabila mendengar hujah pihak-pihak, saya telah bertanya berapakah jumlah perwakilan, dan berapakah jumlah perwakilan yang mewakili cawangan-cawangan yang tidak berdaftar. Hanya cawangan Pulau Pinang sahaja yang terbatal pendaftarannya pada ketika itu, tetapi pendaftaran telah dihidupkan semula selepas itu. Plaintif juga tidak menyuarakan apa-apa bantahan semasa Mesyuarat Agung tersebut dan proses pemilihan, tetapi hanya membangkitkan perkara ini lima bulan selepas penjawat-penjawat dipilih melalui proses pemilihan yang mematuhi Perlembagaan kecuali satu cawangan yang tidak berdaftar hadir (ini pun atas kemungkinan kecacatan ini berupaya menjejaskan kesahan (’validity’) perjalanan mesyuarat di sisi undang-undang, yang mana masih perlu dihujahkan dengan lebih lanjut pada peringkat pendengaran utama writ ini). Melihat pada keseluruhan keterangan dan keadaan seperti terdedah dalam afidavit-afidavit di hadapan saya dan huraian melalui hujahan bertulis dan lisan pihak-pihak, saya dapati wujud kesangsian terhadap bona fides permohonan interlokutori ini. Memang terbukti permintaan dibuat oleh Plaintif sebagai mewakili cawangan Melaka supaya Mesyuarat Luar Biasa diadakan, tetapi apabila beliau diminta membekalkan maklumat-maklumat lanjut, beliau tidak pula bersedia menjawab. Lihat Ekshibit ’C’ pada Lampiran 39, Afidavit Tambahan Defendan Ketujuh.

Mengikut hujahan peguam bagi pihak Defendan-Defendan 2,3,4,5,7,8,9,12,14,16,17, dan 19, permohonan ini bersifat mala fide dan bertujuan sampingan (’collateral’), iaitu dibawa selepas tindakan diambil oleh MMK terhadap Defendan Pertama. Saya tidak sama sekali menolak kebarangkalian motif ini, terutamanya apabila saya berhadapan dengan keterangan yang menunjukkan bahawa Defendan Pertama terlibat juga dengan kegiatan seakan PSSCUHM tetapi diberi nama Silat Cekak Pusaka Hanafi USJ (Lihat Ekshibit ”E”, Lampiran 39).

Dalam keseluruhan keadaan yang terdedah setakat ini, saya dapati prinsip yang terkandung dalam kes Tenaga Nasional Bhd v Kesang Trading Sdn Bhd & Ors [2002] 6 MLJ 1 boleh dianggap terpakai pada fakta permohonan ini. Dalam keadaan-keadaan tertentu doktrin estopel menjadi relevan dan mampu menghalang litigan yang mala fide dan melakukan tindakan yang dalam istilah Inggerisnya disebut ”unconscionable conduct”, daripada bergantung pada apa-apa peruntukan undang-undang yang mampu memihak padanya.

 

Walau apa pun, permohonan ini ialah permohonan interlokutori, dan saya terikat dengan prinsip prinsip yang menerangkan bagaimana budibicara mahkamah wajar dilaksanakan. Saya merujuk pada, misalnya, kes Gerald Francis Noel John v Mohd Noor bin Abdullah & Anor [1995] 1 MLJ 193, yang telah menghuraikan dengan teliti dan jelas prinsip-prinsip terpakai. Pertama, mahkamah hendaklah menentukan samada wujud ”a bona fide serious issue to be tried”. Keperluan pertama ini dapat diatasi oleh Plaintif, pada pandangan saya, jika ditinjau dari sudut pliding dalam Pernyataan Tuntutan. Namun demikian, setelah mengiktiraf kewujudan isu bona fideyang serius dan boleh dibicarakan, mahkamah perlu pula melihat pada soal di mana keadilan kes ini terletak (”where the justice of the case lies”). Dalam hubungan ini, mahkamah hendaklah menimbangkan keburukan yang akan timbul jika injunksi ini dibenarkan berbanding dengan keburukan yang terakibat jika injunksi tidak dibenarkan. Pertimbangan begini termasuklah apa yang disebut sebagai ”the practical realities of the case.” Ketiga, mahkamah hendaklah memperhitungkan bahawa remedi injunksi interim adalah berasaskan budibicara, dan oleh itu mahkamah dibenarkan mengambil kira semua perhitungan budibicara, yang mana termasuk soal samada terdapat remedi alternatif yang lebih wajar dan memadai, dan juga faktor-faktor kepentingan awam.

 

Setelah saya mengambil kira kesemua faktor-faktor yang dihujahkan oleh pihak-pihak, termasuk tingkah laku Plaintif seperti diulaskan terlebih dahulu, saya dapati adalah tidak wajar permohonan ini dibenarkan. Bentuk dan kandungan injunksi interim yang dipohon terlalu luas dan drastik. Kalau mahkamah benarkan, akibatnya ialah hampir keseluruhan aktiviti PSSCUHM akan lumpuh, dan keadaan ini tidak akan memberi faedah pada keseluruhan keahlian PSSCUHM. Inilah realiti praktik kes ini. Dalam pertikaian sebegini, prinsip keputusan keahlian melalui undi majoriti harus juga dihormati. Yang ditekankan Plaintif di sini ialah kehadiran perwakilan satu sahaja cawangan yang tidak berdaftar. Cawangan tersebut kemudiannya diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan sebelum pemfailan tindakan ini. Kepentingan keadilan nyata tidak terletak pada pihak Plaintif.

Oleh itu, mahkamah menolak permohonan injunksi interim ini dengan kos ditaksir.

 

T.T

(MOHAMAD ARIFF BIN MD. YUSOF)
PESURUHJAYA KEHAKIMAN
MAHKAMAH TINGGI MALAYA
BAHAGIAN RAYUAN DAN KUASA-KUASA KHAS 3
KUALA LUMPUR

Tarikh: 10 Disember 2008

Peguamcara bagi Plaintif:

Encik Hanif bin Hassan

Tetuan Haniff Hassan & Co.
Advocates & Solicitors
No. 221-2B & 222-2B, Tingkat 2,
Jalan Harun 5/6,
Pusat Komersial Oakland
70000 Seremban
Negeri Sembilan.

 

Peguamcara bagi Defendan-Defendan:

Encik Yahya bin Abd. Rahman &
Y.M. Tengku Azlina binti Tengku Ismail

Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah & Azhar
Advocates & Solicitors
Chamber 9.11, Level 9
Wisma Zelan, No. 1,
Jalan Tasik Permaisuri 2,
Bandar Tun Razak, Cheras
56000 Kuala Lumpur.

—————————————————————

Nota: Dokumen ini ditaip semula berdasarkan dokumen asal yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur. Sekiranya terdapat perbezaan fakta, teks dokumen asal adalah terpakai – Setiausaha Agung