[ SAMBUTAN 56 TAHUN Silat Cekak Hanafi ]

28 Disember 2021, Datuk Keramat : Hari kelahiran Silat Cekak kali ke 56 telah disambut dengan penuh gemilang di Ibu Pejabat Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Hanafi) di sini hari ini. Sambutan ini turut disiarkan secara langsung di dua platform media sosial rasmi Silat Cekak Hanafi iaitu di Facebook dan juga YouTube.

Sambutan ini telah berlangsung pada jam 9.00 malam sehingga jam 10.30 malam. Yang Mulia Encik Marwi Bin Latif, Penaung merangkap Guru Utama Silat Cekak Hanafi, telah hadir ke majlis ini. Turut Hadir Dato’ Hj. Md Nasir Bin Md Arshad, Tuan Hj. Amruddin Bin Hj. Buang, Penasihat Silat Cekak Hanafi, Tuan Hj Amrahi Bin Hj Buang, Presiden Silat Cekak Hanafi, Naib-naib Presiden Silat Cekak Hanafi, ahli Majlis Mesyuarat Kebangsaan, ahli Majlis Lembaga Pelajaran dan Tatatertib serta rakan-rakan daripada Nurflix.

Sebuah tayangan montaj yang mengimbau kenangan perjalan persatuan telah ditayangkan. Sisipan rakaman ucapan Almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad berjaya mengetuk hati para ahli dalam memahami makna perjuangan. Menurut Tn. Hj. Amrahi bin Hj Buang dan Yang Mulia Encik Marwi bin Latif, mereka amat berbangga dengan perjalanan persatuan yang kekal aktif walaupun di musim pandemik. Mereka juga berharap kebersamaan ahli dalam suka mahupun duka kekal diteruskan sampai bila-bila. Di dalam majlis yang sama, semasa sesi perkembangan semasa persatuan, saudara Azwan bin Othman, Setiausaha Agung Silat Cekak Hanafi merumuskan bahawa persatuan telah berjaya menganjurkan sebanyak 36 program sepanjang tahun 2021.

Di samping itu juga, Tn Hj Roslan, tetamu khas majlis turut menyebut bahawa persatuan telah berjaya menempa langkah baru dalam survival digital dengan menyertai saluran penstriman NURFLIX. . Silat Cekak Hanafi telah terpilih bersama-sama tujuh perguruan lain yang akan terlibat dalam ‘The Art Of Silat Master Class’. Rancangan itu dapat ditonton oleh semua pelanggan penstriman NURFLIX yang meliputi beberapa negara seperti United Kingdom, Turki serta negara-negara lain. Pencapaian baru ini disambut baik oleh pihak NURFLIX yang mempunyai misi murni dalam mengangkat budaya bangsa sendiri ke mata dunia.

Majlis dilengkapkan dengan persembahan Silat Cekak Hanafi yang hebat setelah hampir setahun tidak beraksi. Majlis ini turut diserikan dengan majlis meraikan hari kelahiran Yang Mulia Guru Utama, Encik Marwi bin Latif yang berkongsi tarikh yang sama dengan hari kelahiran Silat Cekak. Majlis yang berlangsung secara bersemuka serta atas talian ini telah mendapat sebanyak 2,257 penglibatan di halaman Facebook rasmi persatuan manakala siaran langsung di platform YouTube telah mendapat sebanyak 185 tontonan.

Terima kasih kepada semua jawatankuasa yang telah menjayakan majlis sambutan kali ini. Semoga usaha murni mampu memberi impak positif kepada ahli lain untuk teruskan kebersamaan memperjuangkan pergerakan persatuan.