Townhall Serikandi Silat Cekak Hanafi kali Pertama

30 Oktober 2021, Platform Maya : Buat julung kalinya unit serikandi Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Hanafi) telah menganjurkan Townhall Serikandi Silat Cekak Hanafi. Townhall Serikandi merupakan platform bagi para serikandi membincangkan permasalahan yang dihadapi para serikandi selain mengeratkan hubungan serikandi daripada pelbagai institut pengajian tinggi.

Seramai 33 serikandi daripada 11 Institut Pengajian Tinggi yang berbeza telah menyertai Townhall Serikandi Silat Cekak Hanafi. Turut hadir Puan Norhayati bin Nordin, sekretariat Rasuah Busters, Encik Fadzul bin Mohidin, Naib Presiden 2 Silat Cekak Hanafi dan Encik Azwan bin Othman, Setiausaha Agung Silat Cekak Hanafi.

Townhall Serikandi yang berlangsung dari jam 9.00pagi hingga 12.30 tengah hari telah dirasmikan oleh Puan Norhayati, sekretariat Rasuah Busters. Beliau memuji kewujudan unit khas bagi ahli wanita Silat Cekak Hanafi serta memberi pelbagai kata-kata semangat berkenaan kekuatan seorang wanita. Sesungguhnya, tangan yang menggoncang buaian mampu menggegarkan dunia. Selain itu, beliau turut berpesan bahawa seorang wanita perlulah memberi didikan terbaik bagi orang sekeliling terutamanya berkenaan cara menangani rasuah yang bermula dari rumah.

Persidangan kali ini telah mendapati majoriti institut pengajian tinggi mempunyai masalah sama dalam pengambilan ahli baru. Pelbagai solusi telah dibincangkan dan majoriti bersetuju menubuhkan satu unit baru iaitu unit serikandi di institut pengajian masing-masing. Selain itu, saudari Nurhafizhah telah dilantik sebagai Pengerusi Serikandi Silat Cekak Hanafi di peringkat pusat melalui undian yang dijalankan di akhir persidangan.

Encik Azwan dan Encik Fadzul telah membicarakan kepentingan unit serikandi terhadap persatuan sebagai tulang belakang sesebuah persatuan. Encik Azwan menyatakan program anjuran unit serikandi telah berjaya mendapatkan perkara yang tidak boleh dijual beli iaitu ikatan silaturrahim antara ahli manakala Encik Fadzul mengucapkan sekalung tahniah kepada semua yang terlibat dalam sesi Townhall Serikandi kali pertama ini.

Terima kasih kepada jawatankuasa unit serikandi Silat Cekak Hanafi yang berjaya menganjurkan Townhall Serikandi dengan lancar serta para peserta yang sudi menghadirkan diri dalam persidangan ini. Semoga segala perbincangan dan persetujuan majoriti diterima sebulat hati oleh semua pihak. Semoga para serikandi kekal bersemangat untuk bangkit memberi impak istimewa pada persatuan Silat Cekak Hanafi.