Santai Otai & Tip Osem : Pengurusan Kewangan

18 September 2021, Platform maya : Santai Otai & Tip Osem (SOTO) telah dianjurkan buat kali kedua menggunakan platform Facebook dan juga YouTube. Program yang berlangsung selama 1 jam 30 minit ini telah menjemput Encik Ikmal Rashmy sebagai otai bulan ini bagi berkongsi berkenaan pengurusan kewangan.

Encik Ikmal Rashmy yang lebih dikenali sebagai Abang Bobby merupakan mantan bendahari agung Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Hanafi) pada tahun 1996 hingga 2002 dan juga pada tahun 2004 hingga 2010. Beliau menegaskan bahawa pengurusan kewangan yang baik haruslah mempunyai simpanan sepanjang masa walaupun sedikit. Beliau kerap kali berpesan bahawa setiap individu perlulah mampu membezakan keperluan dan kehendak terutamanya generasi muda yang mudah tewas dengan hawa nafsu sendiri. Beliau juga sempat menyanyikan Dikir Hanafi atas permintaan penonton sebelum mengakhiri sesi perkongsian.

Perkongsian secara siaran langsung ini telah mendapat sebanyak 518 tontonan di Facebook dan 45 tontonan di YouTube. Penonton telah memberi pelbagai respon positif di atas ilmu yang bermanfaat tersebut. Presiden Silat Cekak Hanafi turut mengucapkan tahniah bagi semua yang terlibat menjayakan program SOTO kali ini. Semoga intipati SOTO dapat disebarluas kepada semua dan dipraktikkan oleh para penonton. Terima kasih juga diucapkan kepada semua yang terlibat. Teruskan sokongan anda kepada aktiviti persatuan di masa akan datang.