Townhall Jabatan Perhubungan dan Seranta

12 September 2021, Platform Maya : Sesi Townhall Jabatan Perhubungan dan Seranta (JPS) buat julung kalinya diadakan bersama wakil-wakil JPS dan Yang Di-Pertua setiap cawangan negeri pada 12 September 2021 bermula dari jam 9.30 malam hingga 11.30 malam. Seramai 24 ahli Silat Cekak Hanafi yang mewakili setiap cawangan berjaya hadir pada sesi townhall tersebut. Turut hadir En. Mohamad Rais bin Abu Noh, Naib Presiden 1 Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Hanafi) dan En. Mohd Azwan bin Othman, Setiausaha Agung Silat Cekak Hanafi.

Antara tujuan Townhall JPS ini adalah bagi menerangkan fungsi sebenar JPS sebagai penghubung antara Persatuan Induk dan ahli- Silat Cekak Hanafi. Selain itu, acara ini diadakan bagi memperkasakan jaringan media sosial rasmi JPS setiap cawangan untuk meningkatkan promosi Silat Cekak Hanafi kepada masyarakat setempat dan seterusnya menarik perhatian bakal ahli baru di lokaliti masing-masing. Tambahan lagi, tatacara hebahan, penerangan ‘template’ poster serta prosedur hebahan turut dijelaskan sebagai usaha untuk menyelaraskan piawaian bahan hebahan maklumat di peringkat cawangan serta pusat. Akhir sekali, JPS di peringkat pusat juga menyatakan hasrat kesudian membantu mana-mana JPS cawangan yang memerlukan sebarang bantuan menawarkan bantuan sama ada dari sudut penyediaan bahan hebahan mahupun aspek teknikal penyiaran sekiranya mereka memerlukan.

Secara keseluruhan, Townhall JPS ini mendapat banyak respon positif serta beberapa cadangan baru bagi meningkatkan kualiti media sosial persatuan. En. Mohamad Rais, Naib Presiden 1 Silat Cekak Hanafi berkata bahawa penganjuran Townhall JPS ini jelas menunjukkan semangat ingin memupuk nilai kebersamaan JPS peringkat pusat dengan JPS peringkat cawangan dalam mencapai tujuan yang sama.

Kesimpulannya, dengan penganjuran Townhall JPS kali ini diharapkan jaringan Silat Cekak Hanafi secara fizikal serta atas talian akan dapat diperluas sehingga seluruh pelusuk cawangan untuk memperkenalkan Silat Cekak Hanafi kepada komuniti dengan berkat kekuatan kerjasama erat antara JPS peringkat pusat dan juga peringkat cawangan. Teguh kita menang bersama. Ribuan terima kasih kepada semua yang sudi hadir ke Townhall JPS kali ini. Semoga kemuafakatan ini berjaya mencapai tujuan yang diimpikan.

#SilatCekakHanafi

#JPSSilatCekakHanafi

#SilatCekakHanafiPrihatin