BOBATEAS : Nostalgia bersama Silat Cekak Hanafi

11 September 2021, Platform maya : Para serikandi sekali lagi berjaya bertemu mata secara maya melalui platform Zoom Meeting. Program yang dianjurkan oleh Unit Serikandi Silat Cekak Hanafi ini telah berlangsung hampir dua jam bermula dari pukul 9.15 malam.

Program yang bertujuan untuk mengeratkan ukhwah antara serikandi kali ini telah membawa semua peserta mengimbau kenangan silam bersama Silat Cekak Hanafi. Antaranya ada yang menceritakan kenangan memenangi pelbagai pingat wajadiri, menyertai demo besar-besaran di Dataran Merdeka serta kenangan membuka kelas di pelbagai tempat. Kisah ini secara tidak langsung menambah semangat generasi muda bagi meneruskan perjuangan pergerakan persatuan.

Selain itu, beberapa cabutan bertuah turut diadakan bagi memeriahkan suasana. Hadiah cabutan bertuah merupakan kupon Tealive serta coklat khas yang ditaja oleh ahli Silat Cekak Hanafi sendiri. Pemenang dipilih melalui roda nama atas talian dan peserta yang memenangi cabutan bertuah dikehendaki memperkenalkan diri sebelum diiktiraf sebagai pemenang. Hal ini bertujuan agar para serikandi menambah kenalan selain merapatkan jurang dalam pertemuan maya.

Semoga silaturahim yang terbina kekal selamanya dengan semangat yang tinggi dalam perjuangan persatuan. Diharap kita bertemu lagi di BOBATEAS yang seterusnya.

#SerikandiBertaaruf

#SerikandiPrihatin

#SerikandiSilatCekakHanafi

#SilatCekakHanafi