28 Ogos 2021, Platform Maya : Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Hanafi) telah menganjurkan program berkaitan kesihatan mental atas dasar prihatin dengan keadaan sekeliling. Selain itu, topik program Anda Tanya, Pakar Jawab kali ini merupakan sahutan terhadap perkongsian kepentingan penjagaan diri oleh Tn. Hj. Amrahi, presiden Silat Cekak Hanafi dalam program Santai Otai & Tip Osem (SOTO) yang lepas. Program ini terlebih dahulu telah mengumpulkan soalan dari orang ramai 5 hari sebelum hari program. Soalan-soalan tersebut kemudian dijawab secara langsung oleh dua orang pakar jemputan di platform Facebook dan juga YouTube.
Pakar bidang kesihatan mental yang pertama adalah Tn. Hj. Norazman Amat, Ketua Penolong Pengarah serta Ketua Kaunselor Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan manakala pakar yang kedua adalah Dr. Hilwa Abdullah, Pensyarah Kanan serta Perunding Psikologi Klinikal Universiti Kebangsaan Malaysia. Kedua-dua panel yang berperibadi ramah serta ceria ini berjaya menjawab persoalan yang diajukan dengan sangat lengkap dan informatif. Oleh demikian, tidak semua soalan dapat dijawab atas kesuntukan masa. Walaubagaimanapun, kedua-dua panel sempat menitipkan pesan kepada penonton bagi memiliki sifat cakna terhadap orang sekeliling serta jangan takut mendapatkan bantuan pakar.
Selain itu, program ini berjaya menarik minat orang ramai kerana statistik tontonan siaran di Facebook adalah sebanyak 518 tontonan manakala siaran di YouTube telah mendapat 75 tontonan. Program ini juga mendapat pelbagai respon positif. Antara respon yang menarik adalah daripada saudara Ahmad Hashim yang menyatakan ini merupakan kali pertama dalam 50 tahun beliau mendapat tahu terdapat persatuan silat yang menganjurkan program kesihatan mental dan tidak dinafikan bahawa beliau terkejut dengan keprihatinan persatuan kali ini.
Semoga perkongsian program ini memberi manfaat dan kesedaran kepentingan kesihatan mental buat rakyat Malaysia. Terima kasih kepada semua yang terlibat.