Perutusan Aidiladha 1441h daripada YM Guru Utama Silat Cekak Hanafi

Bismillahirrahmanirrahim.

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar

Walillahilhamd

Segala puji pujian bagi Allah, tuhan yang layak disembah. Segala pujian dipulangkan semula kepada-Nya kerana masih lagi memberikan hidayah kepada kita untuk hidup di dalam Iman dan Islam. Selawat dan salam kepada baginda junjungan Nabi Muhammad SAW yang telah berjasa besar dalam memperjuangkan agama Islam demi menyelamatkan umatnya dari tersesat dalam melayari kehidupan di dunia ini.

Ahli-ahli sekalian,

Pada tahun ini, kita diberikan lagi kesempatan merayakan Aidiladha yang begitu sinonim dengan pengorbanan. Lambang pengorbanan yang selalu kita ingati setiap tahun melalui perayaan Aidiladha ini adalah daripada tindakan Nabi Allah Ibrahim A.S yang tanpa syak melaksanakan perintah Allah SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S. peristiwa ini mengajar kita, tidaklah Allah SWT itu ingin menzalimi hamba-hamba-Nya, namun hanya hamba-Nya yang benar-benar ikhlas sahaja yang dapat merasai kemanisan ketaatan dalam menjalankan perintah Allah SWT. Bak kata almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad, sesiapa yang merasa gula, maka dialah yang merasai manisnya gula itu.

Itulah natijah daripada pengorbanan yang ikhlas sehingga didatangkan ibadah sunat iaitu ibadah korban kepada kita. Walaupun dijanjikan oleh Allah SWT dengan ganjaran yang besar atas ibadah korban untuk dilakukan bagi yang mampu, namun lakukanlah ibadah korban itu semata-mata kerana Allah, mudah mudahan ibadah itu bersih dan suci, dan bersih itulah yang dinamakan ikhlas.

Aidiladha juga amat dekat di hati kita dengan ibadah haji yang menjadi satu ibadah pengujian tauhid yang penghabisan bagi umat Islam sehingga ia menjadi salah satu rukun Islam untuk ditunaikan sekiranya berkemampuan. Seseorang mukmin itu tidak akan berangkat menunaikan ibadah haji sekiranya tidak sanggup berkorban masa, tenaga hatta wang ringgit untuk mengerjakan ibadah haji. Begitulah besar maksud sesebuah pengorbanan dalam hidup kita. Semoga kita semua akan dijemput Allah SWT untuk mengerjakan ibadah ini satu hari nanti Insya-Allah.

Melalui pergerakan kita, saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada ahli-ahli yang setia mendukung pergerakan Silat Cekak Hanafi. Kehadiran dan penyertaan tuan-tuan membuktikan bahawa kita semua sentiasa yakin dengan apa yang diperjuangkan dalam Silat Cekak Hanafi dalam menegakkan kalimah tauhid melalui pergerakan silat. Insya-Allah segala pengorbanan tenaga, infak harta dan masa tuan-tuan akan dibalas oleh Allah SWT sebagai amal soleh selagi ianya ikhlas dikerjakan. Setiap dari kita mungkin berbeza sama ada pendapat, tindakan dan sebagainya. Namun saya percaya, bersatunya kita bukanlah sehingga tidak ada perbezaan, tetapi apabila kita boleh menghormati perbezaan sesama kita dan sepakat dalam terus memacu pergerakan Silat Cekak Hanafi untuk tahun-tahun mendatang.

Saudara dan saudari,

Tahun ini penuh mencabar untuk kita semua. Kita tidak menduga bahawa tahun ini kita diuji dengan wabak yang merbahaya sehingga satu dunia merasakannya dengan izin Allah SWT. Saya mendoakan agar ahli-ahli bersama keluarga sentiasa selamat dari ancaman wabak yang masih mengancam kita semua. Pohonlah selamat daripada Allah SWT agar kita sama-sama terhindar dari wabak ini selain melaksanakan usaha-usaha pencegahan melalui kawalan kendiri yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Namun, ujian yang melanda ini ada hikmahnya kepada kita. Kerana setiap yang susah itu diiringi dengan kesenangan, percaya dan yakinlah sebagai umat Nabi Muhammad SWT !!

Bagi ahli-ahli yang pulang ke kampung, berhati-hati dalam perjalanan. Amalkan kawalan kendiri yang baik sepanjang perjalanan dan perayaan. Saya mendoakan perjalanan saudara saudari selamat pergi dan balik. Semoga saudara saudari sentiasa selamat berkat dari gerak Silat Cekak Hanafi kita.

Saya sudahi perutusan dengan Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Marui @ Marwi Bin Latif
Penaung merangkap Guru Utama
Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia