Bismillahirrahmanirrahim.
Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar
Walillahilhamd
Segala puji bagi Allah, tuhan semesta alam yang mengizinkan kita terus bernafas dan diberi ruang untuk memohon keampunannya. Selawat dan salam kepada baginda junjungan Nabi Muhammad Saw yang kita rindui.
Alhamdu lillah dipanjatkan rasa kesyukuran dan kehambaan kehadrat Allah swt kerana dengan limpah perkenan dan izinnya serta berkat kekasihnya Nabi Muhammad saw, kita masih lagi diberi kesempatan meraikan Hari Raya Aidil Fitri pada tahun 2020 ini bersamaan 1441H.
Sebulan yang lalu kita diberikan kekuatan melaksanakan ibadah puasa ramadhan di tengah-tengah wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia. Disamping itu saya mengucapkan takziah kepada keluarga salah seorang ahli kita, Almarhum Tuan Haji Hamdan Bin Omar yang kembali ke rahmatullah atas asbab wabak COVID 19 yang melanda. Semoga roh almarhum dicucuri keampunan oleh Allah swt.
Kita amat beruntung, dengan arus dunia yang makin mencabar, kita masih ditemukan dengan bulan ramadhan pada tahun ini, bulan yang penuh keampunan dan semoga ibadah saudara saudari sebulan yang lalu diterima Allah swt dan semoga ramadhan yang kita telah lalui lebih baik dari tahun sebelumnya. Takabbalahhuminkum.
Wabak pandamik COVID-19 banyak mengorbankan jutaan nyawa manusia diseluruh dunia, dan perkara ini memberi kesan keatas pergerakkan persatuan kita dalam melaksanakan pelbagai jenis aktiviti persatuan dan persilatan yang telah dirangka dalam menyambut perayaan 55 tahun Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia. Saya berharap janganlah kita menjadikan ia sebagai penghalang dalam terus menghidupkan api semangat bagi menggerakkan pergerakan ini ke hadapan. Saya menghargai semangat ahli-ahli yang terus memikirkan cara untuk mengimarahkan pergerakan kita dengan pelbagai cara walaupun pergerakan amat terbatas disebabkan perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan. Ini merupakan tanda yang saudara saudari sentiasa menjadikan pergerakan silat ini dalam ingatan saudara saudari. Sebagai contoh, ramai yang melaksanakan aktiviti persatuan dan persilatan melalui medium panggilan dan mesyuarat video, ini adalah satu langkah yang bijak dalam memastikan persatuan kita terus bergerak dan memastikan aktiviti persilatan untuk kokurikulum di universiti dan sekolah terus berjalan di tengah-tengah pandemik COVID 19 ini. Lakukanlah dengan niat yang tulus ikhlas kerana Allah Taala seperti kata Almarhum Ustaz Hanafi “kita bersilat bukan kerana silat, kita bersilat kerana Allah”.
Saudara saudari
Di Aidilfitri inilah kesempatan terbaik untuk saling melupakan semua perselisihan dan persengketaan seterusnya mengukuhkan kerjasama di antara setiap peringkat daripada Majlis Mesyuarat Kebangsaan, Lembaga Pelajaran Dan Tatatertib, penyelia kelas dan seterusnya kepada kesemua ahli. Ambillah peluang ini untuk kita saling bermaaf-maafan dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin. Almarhum Ustaz Hanafi berusaha menzahirkan kembali Silat Cekak ini untuk mendidik penuntut-penuntutnya untuk bersifat dengan sifat mukmin, bukan munafik mahupun fasik. Maka jika dikurniakan sifat mukmin itu, bukankah mereka semua bersaudara? Atas kefahaman inilah, di hari yang besar dan mulia untuk umat islam, kita bermaaf maafan sesama kita. Kita zahirkan semula semangat “senafas, seudara”. Kerana sifat orang-orang mukmin itu sama dan jika mereka bersifat dengan sifat yang sama, maka dengan kesepakatan mereka itulah dipanggil senafas seudara. Mereka itu sama iktikadnya, sama fikirannya dan sama pengangannya.
Sungguhpun tiada perjalanan pulang ke kampung, janganlah lupa bertanyakan khabar ibu bapa jika mereka masih ada. Pohon maaf zahir batin dan doakan kesejahteraan mereka. Walaupun perjalanan merentas daerah dibenarkan dalam sambutan aidilfitiri, saya berharap saudara-saudari kekal berhati-hati dalam perjalanan bagi mengelakkan wabak ini menghinggapi diri dan keluarga kita. Semoga saudara saudari selamat di dalam berkat gerak silat cekak dan amalan-amalannya.
Bagi mengakhiri perutusan, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin kepada seluruh ahli Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia
Allahuakbar, allahuakbar, allahuakbar
Walillahilhamd
MARUI@MARWI BIN LATIF
PENAUNG MERANGKAP GURU UTAMA
PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA