PERUTUSAN YM GURU UTAMA Silat Cekak Hanafi SEMPENA AIDILADHA 1440 (2019)

Bismillahi rahmani rahim

Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar
Walillahilham

Segala puji bagi Allah tuhan semesta alam yang mengurniakan rahmat dan kasihannya kepada kita ummat Nabi Muhammad Saw. Memberi kita peluang sekali lagi pada tahun ini untuk menghayati hikmah Aidiladha yang mana cukup sinonim dengan pengorbanan. Selawat dan salam kepada Baginda junjungan SAW yang telah menyampaikan amanah besarnya dalam menyampaikan Islam kepada kita ummatnya. Bersyukurlah kita kerana dikurniakan nikmat yang sangat besar yakni iman dan islam. Dan semoga kita kekal di dalamnya sehingga penghujung hayat.

Apabila kita menyambut Aidiladha, semestinya kita mengingati dan mengambil iktibar melalui peristiwa Nabi Allah Ibrahim A.S yang begitu taat akan perintah Allah SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S. ketaatan ini adalah lambang keyakinan mutlak nabi allah ibrahim a.s dan nabi ismail a.s kepada ketauhidan terhadap Allah SWT sungguhpun dari mata kasar seorang hamba adalah sangat sukar bagi seorang bapa menyembelih anaknya. Di dalam perjalanan melaksanakan perintah Allah SWT, gangguan daripada iblis adalah hikmah kepada setiap mukmin yang akan sentiasa diganggu dalam melaksanakan perintah allah. Menerbitkan syak, waham dan was was di atas perintah yang perlu dilakukan. Namun semangat tauhid Nabi Ibrahim A.s dan Nabi Ismail A.S telah mendorong mereka untuk menentang godaan itu yang mana akhirnya Allah SWT menggantikan peyembelihan itu dengan seekor kibas.

Tuan-tuan sekalian. Demikianlah juga dengan perjuangan kita. Perjuangan ini menuntut pengorbanan yang mana tujuan utamanya jelas iaitu menegakkan kalimah tauhid melalui pergerakan silat. Apa sahaja yang dilakukan di atas dunia ini haruslah semata-mata kerana allah maka barulah pekerjaan itu dinamakan sebagai amal soleh. Maka atas kefahaman inilah almarhum ustaz hanafi berkata “Kita Silat Bukan Kerana Bersilat, Kita Bersilat Kerana Allah” sehingga perkataan ini menjadi sebutan sehingga generasi hari ini walaupun meraka tidak pernah berjumpa dengan almarhum. Atas kebenaran dalam perjuangan ini jugalah, kita sentiasa diuji dengan was was, syak dan pelbagai lagi urusan hati sehingga kadangkala melemahkan keyakinan kita dalam melaksanakan amal soleh ini. Percayalah tuan-tuan, jika bukan kerana perjuangan ini benar, maka ujian hati ini tidak akan datang. Maka kuatkanlah pergantungan hati kita kepada Allah SWT dalam memberikan kita inayah dan pertolongan dalam meneruskan amal soleh ini untuk menjadikan anak bangsa kita mengenal sifat mukmin dan menjadi ummat Nabi Muhammad Saw yang sebenar-benarnya.

Pengorbanan yang telah tuan-tuan semua lakukan dalam pergerakan ini iaitu masa, wang ringgit dan kudrat akan dikira oleh allah swt sebagai amalan yang baik selagi ianya ikhlas. Insya allah sekiranya perkara ini kita hayati dengan baik, segala yang berat terasa ringan, segala yang jauh terasa dekat dan segala cabaran pasti akan nampak jalan keluarnya. Dengan ilmu persilatan yang memberi manfaat dalam menjaga diri, harta dan keluarga. Dengan amalan murni seperti menjaga masa, benar dan amanah yang membentuk keperibadian mulia, dan dengan kefahaman tauhid yang membawa kepada mengenal Tuhan, Insya Allah akan memberi kesejahteraan hidup kepada kita di dunia dan akhirat. Maka ilmu yang dikembangkan oleh tuan-tuan kepada para penuntut dalam pembelajaran silat akan menjadi bekalan yang baik untuk keberkatan hidup di dunia apatah lagi bekalan hidup di alam akhirat. Teruskanlah istiqamah dalam pergerakan Silat Cekak Hanafi dan janganlah ditinggalkan atau berniat untuk meninggalkannya kerana amat sukar untuk kembali dalam pergerakan setelah ia ditinggalkan.

Saya mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada ahli Silat Cekak Hanafi di seluruh negara. Berhati-hatilah dalam perjalan sekiranya ada yang pulang ke kampung. Saya mendoakan agar urusan tuan-tuan dipermudahkan dan dapat kembali bertugas dalam kerjaya masing-masing dan terus berkhidmat dalam pergerakan kita. Sekian saya akhiri perutusan dengan Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar
Walillahilham

YM Encik Marui@Marwi Bin Latif
Guru Utama
Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia