Kursus Asas Kejurulatihan Silat Cekak Hanafi 2019

5 Ogos 2019, Kuala Lumpur – Telah berakhir Kursus Asas Kejurulatihan Silat Cekak Hanafi di KUPTM, Kuala Lumpur. Kursus ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 3 hingga 4 Ogos 2019.

Kursus kali ini melibatkan seramai 105 orang jurulatih tahap 1 dan bakal jurulatih bagi tahun 2020. Turut hadir Yang Mulia En. Marwi bin Latiff (Guru Utama Silat Cekak Hanafi) , En. Nor Azlan Shah (Presiden Silat Cekak Hanafi) , En. Norhaiby (Setiausaha Lembaga Pelajaran dan Tatatertib Silat Cekak Hanafi, Yang Mulia Cik Tengku Azlina (Setiausaha akademi Silat Cekak Hanafi)

Kursus ini diadakan bagi menyelaraskan matapelajaran Silat Cekak Hanafi dalam kalangan jurulatih. Penyelarasan ini penting bagi memastikan keaslian buah Silat Cekak Hanafi.

Beberapa slot khusus untuk membentuk jurulatih yang berhemah telah dilangsungkan dalam kursus kali ini. Antaranya slot disiplin dan etika jurulatih disampaikan oleh En. Norhaiby, slot teras perjuangan Silat Cekak Hanafi disampaikan oleh En. Nor Azlan Shah, slot komunikasi disampaikan oleh En. Azwan Yunos, slot tanggungjawab tenaga pengajar disampaikan oleh En. Kamaruzaman bin Ahmad dan slot tanggungjawab penyelia disampaikan oleh En. Mohd Azwan Othman. Manakala panduan praktikal dikendalikan oleh En. Azua. Kursus diakhiri dengan perkongsian istimewa daripada Guru Utama Silat Cekak Hanafi, Yang Mulia En. Marwi bin Latiff.

Semoga dapatan kursus ini menjadi kayu ukur semua jurulatih dalam menyampaikan pelajaran pada ahli di cawangan masing-masing.