Benarlah pesan Ustaz Hanafi – Chulan

Salam Ashabi,

Selamat Hari Ibu kepada semua warga Cekak Hanafi yang bergelar ibu. Jasa kalian tiada terbalas. Benarlah pesan Ustaz Hanafi:

Dua ibubapa jangan derhaka,
Besar jasanya kepada kita,
Jika derhaka bahaya menimpa,
Akhirat kita masuk neraka.

Kerna kasih dan fahamnya beliau akan erti jasa seorang ibu maka jangan derhaka kepada ibu menjadi salah satu pantang larang dalam pembelajaran Silat Cekak Hanafi. Ianya tidak terhenti sebagai pantang larang, malah dibentuk jiwa ahli dengan didikan agar kasih kepada ibu sepenuh hati.

Didikan ini menjadi satu jalan untuk menempah tempat kita di syurga. Oleh itu jika kita masih punya ibu maka pelihara dan jagalah hati ibu kita dengan kasih sayang. Bukan wang ringgit dan kemewahan yang seorang ibu sebenar ibu mahukan….tetapi kasih sayang dan layanan penuh ikhlas dari anak-anak yang diinginkan tika usia meniti senja. Jangan kita biarkan ibu kesunyian meniti hujung usianya.

Kasih dan sayanglah wajah syurga yang hadir dalam hidup kita selagi ibu masih bernyawa. Jika ibu telah tiada ayuh kita doakan kebahgiaan dan ketenangan ibu di alam kekal milik Allah jua. Jadilah anak yang kata-katanya menjadi doa buat ibubapa tika hidupnya dan tika tiada lagi wajah syurga ini untuk ditatapi.

Salam perjuangan buat Ashabi. Jasa kalian Allah swt jua membalasnya.

Chulan,
Silat Cekak Hanafi.

29total visits,1visits today