Selain disiplin undang-undang, ada satu lagi disiplin diri yang membentuk penulisan saya – disiplin persilatan. Bagi yang pernah membaca cerpen saya “Lading Masih Di Tangan” (di dalam Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus”), boleh mengesani disiplin saya itu
Saya belajar silat bukan untuk ‘pukul’ orang secara fizikal, walaupun secara asasnya ilmu persilatan ialah untuk mempertahankan diri. Namun, jika diselami, ilmu persilatan itulah yang membentuk sebahagian daripada jati diri seseorang.
Lantas, sewaktu menjadi mahasiswi di UKM, saya sempat mempelajari disiplin ini dan sempat juga menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar sehinggalah saya mula bertugas sebagai peguam. Sesudah itu, saya sukar memberi komitmen dalam mengajar kelas silat, tetapi kaedah, prinsip, amalan dan falsafah dalam Silat Cekak Hanafi masih terpakai dalam cara hidup saya.
Mungkin kerana tautan ukhwah dan keakraban sesama ahli lama dan baharu yang bersifat seperti adik beradik menyebabkan pertemuan semalam, meskipun sudah lebih 20 tahun terpisah, kembali mekar seperti baru selesai kelas latihan. Pesan-pesan Almarhum Ustaz Hanafi, pengasas Seni Silat Cekak (yang kemudiannya dikenali sebagai Silat Cekak Hanafi) bermain-main di bibir mereka dan diturunkan secara lembut dan bersifat nasihat kepada darah yang lebih muda ini.
Walaupun kini, saya lebih banyak ‘bersilat’ dengan kata-kata, setiap pesanan Almarhum hidup dalam diri sebagai penulis, kerana amanah sebagai penulis itu besar. Kemahiran menulis boleh membantu orang lain atau memanipulasi keadaan bagi menjatuhkan, menyakitkan atau menghina orang lain – seperti memiliki ‘superpower’ – terpulanglah kepada pemegang amanah itu untuk menjaga dan menggunakan kelebihan itu dengan sebaik-baiknya, seperti juga buah-buah silat yang boleh membantu orang lain, mempertahankan diri ataupun mencederakan orang lain.
Pesan-pesan itu kini dihimpunkan dalam sebuah buku yang tersusun baik berjudul “Hanafi: Biografi, Wajah, Kata Berseni” tulisan Dato’ Md Nasir Md Arshad, antara tokoh yang akrab dengan Almarhum Ustaz Hanafi sewaktu hayatnya.
Buku ini bukan sepenuhnya biografi Almarhum. Kandungannya 80% ialah pilihan ungkapan dan pesanan Ustaz Hanafi semasa hayatnya, yang dikembangkan maknanya oleh penulis dalam bab yang sederhana panjang. Misalnya, tentang guru. Guru yang baik ialah guru yang sebenar guru (selain ibu dan bapa) – guru yang sebenar ini tidak akan dengki dengan kejayaan anak muridnya).
Bab kegemaran saya setakat ini ialah “Buah Masak Luruh Sendiri” – bahawa setiap sesuatu itu ada waktu yang tertentu. ‘Timing is everything’. Guru yang baik juga akan tahu bila dia patut memunculkan diri untuk muridnya, tahu bila dia patut meningkatkan pelajaran muridnya; seperti pepatah Inggeris, ‘when the student is ready, the teacher will appear’.
Buku ini sesuai dibaca sesiapa sahaja yang sudi berfikir dan menta’akul. Dalam lambakan buku-buku yang santai, inilah antara mutiara yang patut tersimpan dalam perpustakaan anda.
Harga: RM35 (kulit nipis); RM50 (kulit tebal) – tidak termasuk kos penghantaran.
Untuk setiap pembelian buku, (RM5 (nipis), RM7 (tebal)) akan disumbangkan kepada Tabung Amanah Silat Cekak Ustaz Hanafi. Hubungi Puan Nurul Asyikin Md Nasir (019-2627921) untuk urusan jual beli.