“Cekak Terjulang” Karya Supyan Hussin

Cekak Terjulang

Dari negeri jelapang padi yang menghijau dan menguning
Dari istana Sultan Ahmad Tajudin, kau sudah kukuh bertapak
Menjadi benteng maruah dan daulat raja Melayu
Panglima Ismail, Panglima Tok Rashid, lalu turun kepada Yahya Said
“Jika ada anak cucuku di Kedah hendak belajar silat ini, hendaklah kau pulangkan kembali”.
40 tahun Pak Ya menyimpan amanat Panglima
Hingga sampai kepada anak muda bernama Ustaz Hanafi
Berkumis, berkening tebal, berambut ikal
Dari Kampung Sungai Baru, Mukim Gunung, Alor Setar Kedah Darul Aman
Lantas lahirlah Cekak 5 Ramadhan, 1385 Hijrah
Perkumpulan Sari Seni Budaya Sri Kedah wadah mu mula melangkah
Hijrah mu dari utara ke Kuala Lumpur membawa sinar baru dalam sejarah seni silat Melayu tanah air
Kg Datuk keramat, Kg Bumiputera, Persatuan Bawean Putera terukir pada latar mu
Kedai Pak Hussin Jalan Raja Alang, padang Jalan Haji Sirat menjadi saksi sejarahmu

Cekak
Tegak diri mu mempasak bumi bagaikan solat
Niat suci di hati bersama gerak takbiratul ihram menjadi syarat
Dua kerat tulang menjadi pendinding utama mu
Di kala serangan jahat menimpa diri dalam qiyam
Di atas papan sekeping tidak mengelak kiri atau kanan,
Malah melangkah ke hadapan menangkis serangan
Dengan buah asas, buah jatuh, buah potong, buah serang
Musuh dicekak lalu tumbang

Kata Ustaz Hanafi
“Silat Cekak pada lahirnya
pengertian gerak pada batinnya
hendaklah mahir seluruh anggota
hendaklah jujur pada jiwanya”

Katanya lagi
“Taat ke guru membawa berkat
sedikit belajar banyak yang dapat
jika menderhaka menjadi mudarat
semua ilmu tiada yang lekat”

Cekak
Segak, tangkas, kemas, berakhlak mulia
Bersatu hati, berjiwa besar, kuat berpegang pada agama
Itulah pesan Ustaz Hanafi kepada anak murid yang setia

Walaupun jasadnya sudah bersemadi
Puluhan ribu anak muridnya sudah terjelma tanpa mengira darjat dan usia
Silat cekak kini sudah berada di peta dunia persilatan Alam Melayu
Semoga Allah merahmati almarhum Ustaz Hanafi atas jasanya
Aamiin.

Karya : Supyan Hussin
16 Disember 2018