Persembahan Silat Cekak Hanafi Di Bazaar Persatuan UPM

Serdang, 8 September 2018 (Sabtu) – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan Bazaar Persatuan bagi melabuhkan tirai bagi Minggu Perkasa Putra bersempena kemasukan pelajar baharu sesi 18/19 yang telah dilangsungkan di Bukit Ekspo, UPM. Bazaar Persatuan yang turut dihadiri oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris telah menjadi medan bagi persatuan-persatuan yang berdaftar untuk mempamerkan keunikan masing-masing serta membuka keahlian baharu kepada para pelajar yang berminat. Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi UPM (PSSCUHUPM) tidak ketinggalan dalam menyertai kemeriahan ini.

Sehubungan dengan itu, PSSCUHUPM telah mengadakan demonstrasi yang bertujuan untuk menarik minat para pelajar untuk menimba ilmu persilatan yang dapat dimanfaatkan di kemudian hari. Persatuan tersebut telah berkolaborasi dengan rakan-rakan persatuan dari institusi pengajian tinggi yang lain seperti Universiti Malaya (UM), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan juga dari Ampang. Seramai 15 orang ahli Silat Cekak Hanafi telah terlibat di dalam demonstrasi ini.

PSSCUHUPM amat mengalu-alukan keahlian pelajar baharu bagi mengembangkan ilmu persilatan serta membekalkan para pelajar dengan ilmu mempertahankan diri sekaligus menjadikan pelajar UPM sebagai individu yang lengkap dengan ilmu akademik, kerohanian serta kemahiran insaniah.

Seramai 76 orang pelajar telah mendaftarkan diri bagi mengikuti pembelajaran Silat Cekak Hanafi yang bakal bermula pada minggu hadapan.

Secara keseluruhan, Bazaar Persatuan berjaya mencapai objektifnya iaitu bagi menggalakkan penyertaan pelajar ke dalam aktiviti berpersatuan bagi mengasah kemahiran ‘soft skills’ yang amat diperlukan di masa hadapan bagi menghasilkan pelajar yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.

Di peringkat persatuan pula, persatuan berkenaan berjaya meningkatkan jumlah keahlian berbanding sebelumnya dan ini menjadi petanda bahawa masyarakat khususnya golongan belia mula menyedari kepentingan mempelajari ilmu mempertahankan diri disamping memelihara kelangsungan seni ini agar tidak luput dibawa arus kemodenan.

Pihak PSSCUHUPM juga setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua individu yang sudi berkolaborasi bagi menjayakan demonstrasi sempena Bazaar Persatuan sebagai penutup Minggu Perkasa Putra UPM. Semoga kerjasama seperti ini dapat dikekalkan di masa hadapan sekaligus menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan di antara persatuan Silat Cekak Hanafi dari institusi-institusi pengajian tinggi yang lain.

 

Sedutan persembahan Silat Cekak Hanafi dari pandangan Drone untuk tatapan semua :-

 

#sayaSilatCekakHanafi

#SCHUPM

#silatcekakhanafi

#bazaarpersatuan

#mingguperkasaputraUPM