KENYATAAN MEDIA PRESIDEN SILAT CEKAK HANAFI 7 OGOS 2017

KENYATAAN MEDIA

7 Ogos 2017

Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Hanafi) sebagai sebuah NGO berdaftar mendapati pihak-pihak tertentu telah mensabitkan nama pertubuhan ini dengan aksi tular di media sosial berkenaan kes buli yang melibatkan pelajar di sebuah sekolah.

Merujuk kepada video tersebut baju latihan yang memaparkan tulisan ‘Silat Cekak Hanafi’ itu BUKANLAH dari Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia.

Pihak persatuan mengambil serius dalam hal ini kerana asuhan di dalam pengajaran Silat Cekak Hanafi di bawah YM Guru Utama Silat Cekak Hanafi, En. Marwi Latif adalah kesinambungan dari didikan Almarhum Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad iaitu melatih penuntut supaya menjadi insan dan bukan ganas seperti haiwan dan tidak bertindak membabi-buta dalam mempertahankan diri.

Sekali lagi kami ingin menegaskan bahawa Silat Cekak Hanafi yang diiktiraf oleh Kementerian sebagai kegiatan Ko-kurikulum di sekolah TIDAK menyokong kegiatan buli kerana pengajaran Silat Cekak Hanafi lebih kepada mempertahankan diri dan bukan bersifat menceroboh.

Sehubungan dengan itu, pihak kami juga berasa kesal kerana terdapat pertubuhan lain yang masih lagi berselindung di bawah identiti Silat Cekak Hanafi. Ini memberikan impak yang negatif kepada pertubuhan Silat Cekak Hanafi yang sebenar dalam memberi penumpuan dalam menerapkan jatidiri budaya bangsa dan menghormati sesama insan. Oleh yang demikian, orang ramai hendaklah lebih teliti dalam mengenali Silat Cekak Hanafi yang sebenar melalui pakaian seragam latihan yang dikenakan oleh penuntut seperti gambar di bawah.

Selain daripada pakaian yang dipaparkan adalah BUKAN daripada pertubuhan Silat Cekak Hanafi.

 

Nor Azlan Shah bin Abdull Gaffoor
Presiden
Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia

Hubungi:
Azwan Yunos B Omar
Setiausaha Agung
Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia
+601120870079