4 Mac 2017, Shah Alam- ‘Protect Yourself 2.0’ adalah salah satu slot di dalam aktiviti Karnival Karangkraf 2017 yang dijalankan di sini hari ini. Slot ini merupakan tahun kedua dilaksanakan semenjak edisi Karnival Karangkraf yang lepas.
Slot ini telah dijayakan oleh 374 orang ahli Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Hanafi) dari seluruh negara merangkumi kelas-kelas latihan awam, universiti awam dan swasta serta para pelajar sekolah. Silat Cekak Hanafi adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan mempunyai cawangan-cawangan di seluruh Malaysia. Yang Mulia En. Marwi bin Latiff, penaung merangkap Guru Utama Silat Cekak Hanafi bersama-sama barisan kepimpinan muda yang diterajui oleh En. Nor Azlan Shah bin Abdull Gaffoor, Presiden Silat Cekak Hanafi telah merancang pelbagai aspek untuk menperkasakan budaya bangsa melalui silat ini. Silat Cekak Hanafi adalah pergerakan silat yang mempunyai jatidiri tersendiri serta menerapkan dengan nilai-nilai murni kepada ahli-ahli melalui perjuangan yang telah diasaskan oleh Almarhum Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad. Program pagi ini telah dimulakan dengan persembahan silat yang mantap oleh ahli-ahli Silat Cekak Hanafi seramai 360 orang.
Persembahan di akhiri dengan laungan ‘Saya Silat Cekak Hanafi’ sebagai lafaz keyakinan bahawa Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia adalah satu-satunya badan yang mewarisi ilmu, kefahaman dan cara pemikiran Almarhum Ustaz Hanafi, serta pertubuhan asal yang mewarisi dan menganjurkan Silat Cekak Hanafi di negara ini. Kemudian, program diteruskan dengan ‘Tips Cegah Jenayah’ yang disampaikan oleh Encik Norhaiby bin Md Shariff, Pengurus Akademi Silat Cekak Hanafi merangkap
Setiausaha Lembaga Pelajaran dan Tatatertib Silat Cekak Hanafi.
Program diteruskan pula dengan Pelancaran Kad Ahli Seumur Hidup Silat Cekak Hanafi yang baru dengan kolaborasi kad VIP Karangkraf sebagai rakan integrasi. Pelancaran kad ini juga merupakan sebagai simbolik tanda persetujuan persefahaman diantara Silat Cekak Hanafi dengan Kumpulan Media Karangkraf sebagai rakan kerjasama strategik jangka panjang. Pelancaran telah disempurnakan oleh Tan Sri Haji Noh bin Omar, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama-sama Datuk Hussamuddin Yaacub CEO Kumpulan Media Karangkraf. Presiden Silat Cekak Hanafi, En. Nor Azlan Shah bin Abdull Gaffoor menyifatkan kolaborasi seperti ini perlu diperkasakan supaya budaya bangsa kita dapat berkembang seiring dengan perkembangan media zaman ini. “Kami amat berbesar hati dengan Kumpulan Media Karangkraf kerana memberi kami ruang kerjasama seperti ini dan kami yakin usaha-usaha seperti ini dapat menggalakkan lagi kepada masyakarat tentang kepentingan menjaga diri. Kami akan pastikan program ‘Protect Yourself 2.0’ tahun ini akan menjadikan sambutan yang tidak akan dilupakan. ‘Saya Silat Cekak Hanafi’ ” kata beliau.