cekakhanafi.com - Laman Sesawang Rasmi Silat Cekak Hanafi

GERAK PENA PRESIDEN -GUGURNYA BUNGA PULAI IMPIAN

E-mail Cetak PDF


Alhamdu lillah syukur kehadrat Allah swt Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi ke 19 telah melabuhkan tirainya dalam nada semangat terus memuncak dan penuh kegemilangan.

 

Sesungguhnya usaha daripada kekanda Amir Firdaus, Jumari, Nazrul, Jai, Shairul Anuar, Faizal, Rizal, Hanif, Mohd Azuan, Mohd Azpuri, Mohammad dan Emelda tanpa memikirkan penat lelah telah berjaya meletakkan Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi ke 19 sebagai kejohanan dalam kelas yang tersendiri baik dari segi penganjuran mahupun pertandingan yang dilangsungkan. Mereka telah membuktikan bahawa jumlah jentera yang kecil tidak bermakna usaha besar tidak boleh dikecapi dan digapai dengan jayanya. Mereka juga membuktikan bahawa kesatuan hati dan fikiran dalam nada senafas seudara berjaya membuahkan hasil yang manis untuk dinikmati bersama. Tahniah kekanda Amir Firdaus dan jentera Silat Cekak Hanafi Negeri Sembilan. Kalianlah yang terbaik dan selayaknya menjadi contoh untuk seluruh warga Cekak Hanafi samada di peringkat negeri, pusat, mahupun adik-adik di IPTA dan IPTS serta anakanda-anakanda di sekolah.


Sewaktu majlis perasmian tempohari, secara peribadi hati saya sebak bila majlis diselitkan penganugerahan parang lading buat insan yang cukup dekat di hati saya iaitu Almarhum Yusuf bin Jidin - hanya insan biasa tetapi mempunyai jiwa yang luarbiasa. Beliau bukan seorang yang punya gelaran besar atau berpangkat besar tetapi hatinya cukup besar untuk merobah semangat ahli-ahli di Negeri Sembilan untuk bersatu dan menjayakan Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi ke 19. Semangat inilah yang kita mahukan di kalangan ahli kita agar berani bangkit dari lena yang panjang untuk mengembangkan Silat Cekak Hanafi walau dimana kita berada, bagai benih yang baik ke mana jatuh disitu subur dan mekar mewangi.


Saya mengenali beliau secara peribadi ketika menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau adalah pemandu bas UKM dan bilamana ada program Silat Cekak di pusat beliaulah yang sering menjadi pemandu untuk kami selamat sampai ke tempat tujuan. Tika itu beliau belum menjadi ahli Silat Cekak. Mungkin kerana ramahnya ahli-ahli menyapa beliau tika menjejaki kaki ke dalam bas yang dipandunya menjadi pencetus kepada beliau untuk belajar silat ini. Akhirnya beliau telah diijazahkan sebagai ahli Silat Cekak Hanafi di No.1, Jalan 1/3K, Bandar Baru Bangi yang ketika itu menjadi Pusat Latihan Bandar Baru Bangi(PLBBB), juga merupakan kelas pertama PLBB. Beliau menjadi ahli yang aktif dan senang bergaul dengan ahli-ahli di PLBBB. Beliau sering membantu kelas-kelas di PLBBB sehinggalah tugasan beliau sebagai pemandu bas bertukar kepada pemandu kereta untuk pegawai-pegawai dan Profesor di UKM yang telah menjadi kekangan untuk beliau aktif namun hati dan jiwanya kepada silat ini tidak pernah padam.


Kemelut yang melanda Silat Cekak Hanafi pada tahun 2006 ada hikmahnya. Di sebalik kelesuan ahli-ahli dalam menghadapi kemelut ini, Almarhum Yusuf Jidin telah bangkit dengan memberitahu hasratnya untuk membuka kelas latihan di Seremban kepada Abg Khalid @ Kamaruzaman Ahmad. Hasrat yang sama juga disampaikan sendiri oleh beliau kepada saya dan di dalam mesyuarat LPT telah meluluskan hasrat beliau dan memberikan sokongan penuh terhadap usaha murni beliau. Benarlah janji Allah swt dalam surah Ash Sharh yakni dalam setiap kesusahan akan ada kesenangan dan diulang ingat oleh Allah swt buat kita yang kecewa agar bangkit daripada apa jua kesusahan yang kita hadapI, dan perkara itu dibuktikan oleh insan luarbiasa ini dengan membuka kelas pertama Silat Cekak Hanafi di bumi beradat iaitu di Taman Pulai Impian, Seremban.

Masih saya teringat betapa bersinarnya mata beliau ketika hasrat untuk membuka kelas latihan tersebut diluluskan oleh LPT dan sejak daripada tarikh tersebut beliau tidak pernah menoleh ke belakang malah terus bersama-sama ahli-ahli di Seremban memperkemaskan pendirian dan melangkah sama segak sama gagah mengembangkan Silat Cekak Hanafi sehingga kita kini mempunyai lima buah kelas - terus maju dan berdaya saing mara ke hadapan.

Inilah jiwa ikhlas beliau yang sukar dicari ganti. Kita mungkin seorang graduan atau pekerja mahir yang bergaji besar tetapi beliau hanya insan biasa yang berfikir dan berusaha secara luarbiasa atas keyakinan beliau bahawa Silat Cekak Hanafi yang dibawa ini adalah warisan ilmu dan pendidikan serta kefahaman yang tulen daripada Ustaz Hanafi untuk dikembangkan bersungguh-sungguh di bumi beradat ini.

Jiwanya ikhlas, usahanya ikhlas dan senyuman manis yang sentiasa terukir dibibirnya jua ikhlas…tidak pernah beliau mengeluh dalam mengajar silat ini walaupun beliau berulang dari Seremban ke UKM untuk mencari rezeki tetapi minat dan usahanya untuk Silat Cekak Hanafi tiada pernah pudar. Pemergian beliau di subuh hari tika keluar mencari rezeki di UKM adalah kehilangan besar buat jentera persatuan di Negeri Sembilan dan Pusat. Bahkan semasa jenazah dikebumikan di kampung halamannya saya dan beberapa ahli LPT dan MMT turut sama mengiringi jenazah beliau sebagai tanda hormat dan kasih kami kepada insan luarbiasa ini. Kembalilah beliau dalam dakapan rahmat Allah dalam redha dan kasihNYA.

Kepada semua warga Silat Cekak Hanafi yang muda dan sebaya saya…marilah sama-sama kita contohi jiwa insan yang mulia ini….biar hanya insan biasa tapi semangat juangnya cukup kental untuk bangkit tika mana kita masih lesu dan leka dalam kemelut diri yang alpa.


Hiduplah wahai jiwa yang tenang, jasamu kami kenang, usaha murni mu akan kami teruskan.

Serangkap pantun sebagai tanda kasih buat beliau:
Nyiur Gading Mayang Berjurai,
Kait Buah Buatkan Inti,
Hancur Daging Tulang Berkecai,
Kasih Tak Ubah Sampai Ke Mati.

Buat Kekanda Amir Firdaus dan jentera Negeri Sembilan, teruskan usaha murni kalian…moga Silat Cekak Hanafi terus mekar di bumi beradat.

Al -Fatihah untuk Almarhum Yusuf bin Jidin, gugurnya bunga Pulai Impian….semoga rohnya ditempatkan di makam kekasihNYA dan mekar mewangi selamanya.

Salam Ikhlas Salam Cekak Hanafi,
Chulan
11/04/1016.
Bdr Tun Razak,
Kuala Lumpur.

 
You are here: Home

Pautan Sosial


 
Cari Kami di facebook.com/silatcekak

Alamat Perhubungan

Pejabat Urusan Cekak Hanafi,
No 3, Lorong Kiri 1,
Kampung Datuk Keramat,
54000 Kuala Lumpur. 
  • Tel: 
    03-4251 0651
  • Fax: 
    03-4266 5757
  • Email: 
    pej_urusan@cekakhanafi.com
  • Laman Web: 
    www.cekakhanafi.com