cekakhanafi.com - Laman Sesawang Rasmi Silat Cekak Hanafi

UCAPAN PRESIDEN PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA

E-mail Cetak PDF



TEKS UCAPAN PRESIDEN
PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA
MESYUARAT AGONG PEMILIHAN 2015
24 JANUARI 2015, 3 RABIUL’AKHIR 1436H

Bismillah hirrahmaa nirrahim.

Assalamu alaikum wbt.

Yang Mulia Tuan Marwi Latif
Guru Utama
Silat Cekak Hanafi

Yang Berusaha Tuan Haji Amruddin Haji Buang
Ketua Pegawai Eksekutif
Akademi Silat Cekak Hanafi

Para barisan ahli Majlis Muafakat Tertinggi, ahli Majlis Mesyuarat Kebangsaan, ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib, ahli Majlis Mesyuarat Negeri

Para barisan perwakilan Silat Cekak Hanafi Cawangan Negeri

Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi.

Syukur alhamdu lillah kita dapat berkumpul pada hari ini sesama ahli Silat Cekak Hanafi untuk Mesyuarat Agong Pemilihan 2015. Terima kasih kepada jawatankuasa yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menguruskan perjalanan mesyuarat hari ini juga kepada semua yang dapat melapangkan masa untuk hadir.

Dalam kita menerajui Silat Cekak Hanafi ini, sama ada sebagai pengamal, tenaga pengajar mahupun ahli yang baru belajar, harus ada kesungguhan dan keikhlasan. Saling hubungan di antara sesama ahli juga amat penting tanpa mengira peringkat usia dan latar belakang. Hubungan ini meliputi yang baru, yang lama, yang aktif, yang kurang aktif, yang muda, yang tua supaya silaturrahim dan penyampaian isi silat dan pergerakan persatuan itu dapat diterjemahkan menjadi amalan yang istiqamah buat kita semua. Dari keikhlasan dan kebenaran inilah kita akan dapat benar-benar menghayati keperibadian YM Ustaz Hanafi pengasas Silat Cekak Hanafi yang kita kasihi.

Persatuan ini telah didaftarkan semula pada 1993 untuk meneruskan perjuangan Ustaz Hanafi rentetan berlakunya krisis dalam pergerakan terdahulu. Alhamdu lillah dengan usaha dan kesungguhan di kalangan pendukung telah berjaya kembali meletakkan persatuan ke mercu dengan pelbagai perkembangan dan kemajuan di persada persilatan tanah air. Harapkan panas hingga ke petang rupanaya hujan di tengahari, bilamana pada tahun 2006 pergerakan dicemar dengan salah laku kepimpinan  tertinggi persatuan sehingga membawa kepada tindakan perlucutan  dan pemecatan jawatan tertinggi. Kejadian ini membawa kepada pergolakan yang hebat dalam persatuan sehingga melibatkan tuntutan  di peringkat mahkamah.

Sesungguhnya setiap ujian dan dugaan itu menjadikan kita lebih baik dari sebelumnya dan meningkatkan dayatahan dan dayajuang kita dalam silat dan persatuan. Hasil usaha perundangan yang dilakukan oleh pihak Tetuan Yahya & Co dan Tetuan Azlina , Azlan Shah & Azman;perintah mahkamah yang memihak kepada kita telah diperolehi dan persatuan ditadbirkan semula selaras dengan kehendak pendaftar pertubuhan.  Daripada 9 cawangan sebelum ini persatuan hanya tinggal 3 sahaja cawangan iaitu cawangan Selangor, Perak dan Terengganu. Daripada keputusan mahkamah ini juga MMK telah digerakkan semula dengan serba kekurangan manakala MMT pula telah membuat pengisytiharan Guru Utama yang baru bagi tujuan pengijazahan pembelajaran silat.

 

Dengan tenaga yang serba kekurangan dan pincang, MMK telah meneruskan pergerakan persatuan melalui usaha-usaha yang tidak mengenal putus asa sehingga akhirnya kita berjaya melakukan perkara-perkara berikut:

1) Tuntutan sebanyak Rm 15 ribu yang diperolehi dari pada En Md Radzi oleh Tetuan Ibrahim Fuaadah  sebagai mana perintah mahkamah diatas kegagalannya menuntut jawatan Presiden yang telah dilucutkan atas kesalahan salah laku. Sebagai Firma Guaman Persatuan yg telah berjaya mendapatkan perintah mahkamah, MMK memutuskan pembahagian perolihan tersebut diagihkan 1/4 kepada Tetuan Yahya and Co dan 1/4 Tetuan Tengku Azlina , Azlan Shah &Azman. Dan 1/2 bahagian kepada persatuan;
2) Kejayaan mendapatkan semula  Surat Hak Milik Persatuan HS(M) 1442. PT 493 Kampung Datuk Keramat, Mukim Setapak,  Wilayah Persekutuan. Kuala Lumpur. Keluasan 278.7meter persegi dengan cukai tanah RM189.00 setahun. Didaftarkan pada 11hb Sept. 1996 dengan Tempoh Pajakan selama 99 tahun.Hakmilik baru telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan pada 16hb Oktober 2014;
3) MMK telah memutuskan untuk membangunkan Hartanah tersebut yg boleh dijadikan Ibu Pejabat persatuan bagi tujuan menjana pendapatan berpanjangan untuk kegunaan persatuan.
4) MMK telah memutuskan bahawa mesyuarat agong pemilihan ke 16 hari ini akan menentukan secara pemilihan Ahli Jawatan Kuasa MMK yang baru berdasarkan konstitusi perlembagaan persatuan;
5) Untuk makluman semua, keperluan belanja mengurus persatuan adalah sebanyak RM60 ribu setahun.Pihak persatuan akan terus berusaha medapatkan sumber kewangan melalui sumbangan dari ahli, program CSR dan jamuan makan malam; dan
6) MMK memutuskan tahun ini sebagai tahun Sambutan 50 tahun Silat Cekak Hanafi dengan konsep GERAK MERCU yang memberi tumpuan kepada meningkatkan imej Silat Cekak Hanafi, menambah jumlah sumber manusia yang berkemahiran dan berusaha mengumpul dana bagi keperluan urus tadbir dan aktiviti persatuan. Langkah ini insyaAllah akan dapat direalisasikan melalui program-program yang telah disusun bersama dengan Lembaga Pelajaran dan Tatatertib dan pihak Akademi.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati.

Sambutan Ulangtahun ke-50 Silat Cekak Hanafi pada 2015 ini merupakan satu usia yang sudah cukup dewasa dan matang. Seharusnya kita sebagai ahli menampilkan ciri kedewasaan tersebut dengan memperkukuhkan lagi pergerakan persatuan dan persilatan agar seiring dengan perkembangan semasa. Persatuan telah merancang beberapa program besar sempena sambutan tersebut dan ia memerlukan kerjasama dan tindakan positif dari semua pihak. Persatuan akan membawa Silat Cekak Hanafi kepada satu platform ilmiah. Kita harus memberi kesedaran bahawa silat bukan hanya sekadar silat. Silat merupakan satu cabang ilmu yang mempunyai banyak aspek ilmiah yang boleh diperkembangkan untuk kepentingan bangsa, agama dan tanahair.

Kesedaran harus ada pada hari ini bahawa silat bukan lagi sekadar satu percaturan di kelas latihan, tetapi ia juga mampu dijadikan topik ilmiah dan dibincangkan secara terbuka dalam persidangan, seminar mahupun forum ke arah menjana minda dan fizikal yang cergas dan cerdas. Masyarakat hari ini semakin aktif mengejar kemajuan dan pembangunan yang semakin pesat. Jadi biarlah ianya seiring dengan pengisian dalam diri tentang ilmu bermanfaat dan pembentukan peribadi mulia. Seiring dengan itu saya menginginkan setiap ahli dan pengamal Silat Cekak Hanafi supaya dapat memupuk minda yang fleksibel dan dinamik ke arah mendatangkan pembaharuan dalam perkembangan Silat Cekak Hanafi pada satu platform yang baru. Segala yang kita usahakan perlu mematuhi perlembagaan Persatuan dan tidak menyalahi dasar-dasar persilatan yag telah dipersetujui.

Selain daripada perkara-perkara yang telah saya sebutkan tadi, MMK juga telah berusaha memulihkan imej dan mengerakkan semula jentera persatuan satelah tercemar ekoran krisis salah laku kepimpinan tersebut. Antara lain adalah menetapkan supaya segala keputusan Mesyuarat sama ada diperingkat pusat dan cawangan dipatuhi oleh setiap pendukung dan ahli seperti meletakkan nama Silat Cekak Hanafi didalam perlembagaan persatuan, memberi penekanan supaya persatuan tetap menjadikan Silat Cekak dan menentang tahyul kurafat sebagai teras perjuangan. Di samping itu, persatuan juga memastikan tiada sebarang penglibatan dengan mana-mana dasar dan aktiviti parti politik malah akan sentiasa berpendirian menyokong pihak kerajaan yang dipilih oleh rakyat terutama dalam aspek memperkembangakn bidang budaya seni silat khasnya dan pencegahan jenayah amnya. Di sini peranan jawatan kuasa seranta amat penting sebagai usaha mempopularkan imej Silat Cekak Hanafi melalui media dengan mendapatkan slot di media massa saperti akhbar tempatan dan program-program di RTM dan Media Prima.

Salah satu pendekatan yang diambil bagi memastikan kesepaduan dalam persatuan dan Silat Cekak Hanafi adalah dengan konsep Pandai Silat yangjuga diperkenalkan sebagai suatu usaha untuk menarik minat generasi muda mempelajarinya dan ia telah meningkatkan imej Silat Cekak Hanafi  dikalangan IPT, kolej dan sekolah bilamana cabaran Silat Cekak Hanafi telah diperkenalkan dan pada masa yang sama wajadiri peringkat nasional terus dianjurkan saban tahun. Aktiviti seperti ini disokong dengan slogan Satu Pemikiran Satu Tujuan. Tumpuan kepada genarasi muda turut mengetengahkan aktiviti lasak dan kembara sebagai satu pendekatan ‘bonding’ di kalangan ahli.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati.

Sebagai tahun sambutan 50 Tahun Silat Cekak Hanafi, kita akan memberi tumpuan kepada Persilatan dan penerbitan buku: Pemikiran Ustaz Hanafi Hj Ahmad. Dalam masa yang sama sambutan akan menjurus kepada tranfomasi ke arah menaikkan Jenama Tulen Silat Cekak Hanafi, memperkayakan sumber manusia yang berpengetahuan dan berpengalaman serta meningkatkan dana melalui sumbangan dan lebihan daripada aktiviti sambutan.

Sambutan 50 tahun Silat Cekak Hanafi pada tahun 2015 merupakan suatu TRANSFORMASI yang dipandu secara terancang dan tersusun bagi memastikan SILAT CEKAK HANAFI sebagai  Jenama Tulen yang diperjuangkan dan diurus tadbir selama usia 50 tahun dapat diangkat ke MERCU melalui tenaga kerja yang bertenaga, berpengetahuan, berpandangan luas dan memahami perjuangan sebenar Ustaz Hanafi Hj Ahmad.

Sepintas lalu boleh saya nyatakan di sini bahawa sepanjang tempoh dua penggal yang lalu, MMK lebih tertumpu kepada membina semula imej yang telah tercemar dan mengembalikan kesepaduan yang telah mengalami perpecahan diperingkat cawangan dan akar umbi. Justeru itu, gerak kerja persatuan telah disusun semula secara berperingkat bagi menstabilkan kedudukan Silat Cekak Hanafi di kalangan ahli dan juga masyarakat.

Persatuan kini mula stabil dan pada tahun 2015 kita harap melalui sambutan 50 tahun Silat Cekak Hanafi kita akan laksanakan transformasi dalam pucuk pimpinan persatuan melibatkanperalihanpucuk pimpinan MMK  kepada generasi muda bagi meneruskan legasi yg telah di bina oleh Ustaz Hanafi Hj Ahmad. Dengan itu, saya mengumumkan untuk tidak bertanding lagi pada kali ini dan saya harap pencapaian MMK selama ini akan dijadikan inspirasi dan panduan kepada MMK lapisan seterusnya. Merujuk kepada keputusan Mesyuarat MMT pada 28 Disember 2014, mesyuarat berkeputusan untuk mencadangkan Saudara Noor Azlan Shah Abdul Ghafoor sebagai Presiden Persatuan Silat Cekak Hanafi yang seterusnya menggantikan saya.

Patah tumbuh hilang berganti, begitulah adat dan lumrah. Saya yakin dengan barisan kepimpinan baru yang bakal dipilih sebentar lagi, persatuan bakal mencorak satu anjakan paradigma yang mampu memahat kewujudan lebih kukuh dalam persada persilatan di Negara ini. Selaras dengan itu juga kita akan sentiasa menggembleng tenaga baru dan lama sebagai langkah memastikan keaslian Silat Cekak Hanafi dan pengisian Ustaz Hanafi Hj Ahmad sampai kepada generasi seterusnya dengan sebaik-baik pengisian.

Hadirin sekalian.

Dalam situasi kita bangkit dari pergolakan dan krisis, persatuan dan persilatan sentiasa bergerak seiring dengan disokong oleh Akademi. Sayugia saya juga tidak lupa untuk mengingatkan kita semua di sini tentang peranan yang didokong oleh YM Guru Utama Encik Marwi Latif dan juga CEO Akademi Tuan Haji Amruddin Haji Buang. Setiap pergerakan dan aktiviti yang kita jayakan memerlukan penggemblengan secara langsung dan tidak langsung daripada kedua-dua orang pemimpin dalam Silat Cekak Hanafi ini.

YM Guru Utama bertindak selaku Pengerusi LPT yang mana memastikan tenaga sumber manusia Silat Cekak Hanafi sentiasa bertambah melalui keahlian silat dan menjaga kualiti silat serta peribadi yang dibentuk pada setiap ahli. Daripada jentera keahlian melalui persilatan inilah persatuan mendapat tenaga kerja untuk menggerakkan jawatankuasa-jawatankuasa yang telah dibentuk serta mendidik pelapis kepada barisan kepimpinan seterusnya.

Akademi pula dengan diterajui oleh Tuan Haji Amruddin berperanan menyediakan pakej-pakej kursus dan latihan ke arah melahirkan ahli silat dan tenaga pengajar yang bertauliah dan berpengetahuan. Pada zaman ini kita sentiasa memerlukan nilai tambah terhadap sesuatu yang sedia ada, Dalam erti kata lain, peredaran zaman telah menagih kita untuk sentiasa proaktif dan produktif. Justeru itu Akademi memberi tumpuan kepada pendidikan dan pengisian kepada ahli-ahli dan tenaga pengajar bagi memastikan kelangsungan Silat Cekak Hanafi di masa akan datang.

Sebagai penutup, saya ingin mengetengahkan sekali lagi intipati tujuan Persatuan ini dan perjuangan kita dengan memberi penekanan kepada fokus pada tahun 2015 iaitu:

1) meningkatkan imej Silat Cekak Hanafi sebagai satu Jenama Tulen yang mudah dikenali dan lebih dipercayai oleh masyarakat umum.Tranformasi perlu dilakukan dengan memperkenalkan perkataan Silat Cekak Hanafi melalui media sosial. Memastikan pengurusan urustadbir yang lebih cekap, memantau pelaksanaan pembinaan bangunan persatuan dan pusat latihan yang lebih tersusun sehingga pengamal silat ini benar benar menghargainya dan masyarakat menjadikan silat dan persatuan ini sebagai contoh ikutan yang baik insyaAllah;
2) meningkatkan jumlah penuntut yang mempelajari silat ini di peringkat cawangan dan di IPT juga sekolah. Ia dalam masa yang sama dapat meningkatkan jumlah sumber manusia dengan pengetahuan dan pengalaman untuk menggerakkan jentera persatuan yang telah ‘rebranding’; dan
3) meningkatkan jumlah dana persatuan melalui yuran keahlian dan pembelajaran. Mendapatkan sumbangan dari ahli dan pihak swasta didalam menaja aktiviti sambutan 50 tahun Silat Cekak Hanafi.

Dari Daik pulang ke Daik,
Sehari-hari berkebun pisang;
Budi baik dibalas baik,
Dalam hati dikenang orang.

Tanam legum tumbuh kelapa,
Terbit bunga pucuknya mati;
Samalah kita berbudi berjasa,
Untuk Silat Cekak Hanafi.

Sekian, wassalamu alaikum warah matullahi wabarokatuh.

Terima kasih.

Dato’ Md Nasir Md Arshad
Presiden Silat Cekak Hanafi
24 Januari 2015, 3 Rabiul'akhir 1436H

Terakhir dikemaskini ( Ahad, 25 Januari 2015 20:48 )  
You are here: Home

Pautan Sosial


 
Cari Kami di facebook.com/silatcekak

Alamat Perhubungan

Pejabat Urusan Cekak Hanafi,
No 3, Lorong Kiri 1,
Kampung Datuk Keramat,
54000 Kuala Lumpur. 
  • Tel: 
    03-4251 0651
  • Fax: 
    03-4266 5757
  • Email: 
    pej_urusan@cekakhanafi.com
  • Laman Web: 
    www.cekakhanafi.com